Wednesday, 27 January 2016

( Full Novel ) Suamiku 19 Tahun [ Bab 3]

Pesan, nasihat mama dan abah aku pahat kemas ke dalam hati. Siap dikunci lagi!

“Jaga solat, makan minum..jaga maruah diri.” pesan abah kembali sebelum aku berangkat meninggalkan mereka. Kakak pula, adalah sekali dua hubungi aku, tanya aku macam-macam. Sebenarnya tempoh hari, dia nak tolong aku carikan rumah sewa , tapi aku menolak secara baik kerana aku sedar, dia pun sibuk..dengan jaga makan minum suami dan anak-anak dia..takut menganggu pulak. Lagipun aku teramat free nak buat semua tu. Aku faham, kakak risaukan keadaan aku. maklumlah, tempat orang. Tapi aku ni nak berdikari!

“Haa Ika, kau jaga diri baik-baik tau! Tahulah tempat baru kan..be careful! Ada apa-apa hal, beritahu kita orang!” begitulah Kak Fiza. Asyik membebel je, mengalahkan mama! Tapi aku tahu, akak memang baik sangat. Diluar sedar, aku tersenyum memikirkan mereka semua. Syukur Alhamdulillah aku dikurniakan sebuah keluarga yang sebegini. Dengan tingkah abah yang tegas, mama yang penyayang…kak Fiza yang kuat membebel…semua cukup! Hehe~

Aku meletakkan bagasi di dalam bilik sebaik membuka pintu bilik rumah sewa dan hempaskan tubuh ke atas katil. Penat pulak! Tapi nak juga aku merasa suasana baru ni. Keluar kejap lah! Kebetulan hari ini hari ahad, jadi apa salahnya aku ambil peluang bersiar-siar di sekitar kawasan perumahan? Baiklah, jom!

Aku berlari anak menuruni tangga rumah. Kunci kereta dicapai dan tubuh laju membolos pintu.

Aku bersiar-siar dikawasan rumah ni aje sementara cuba untuk mengenal pasti lorong-lorong taman dan laluan-laluan kereta. Yelah, takut pula aku sesat nanti. Tak pasal-pasal polis bukakan peta kawasan perumahan ini untuk aku. Huhu! Malu ke tak malu tu?

***

Usai makan malam dan membeli barang dapur, tanpa berlengah aku terus balik ke rumah sewa. Aku pusingkan tombol pintu sebaik mengambil barang dapur dari bonet kereta. Lampu aku hidupkan. Barang tadi aku letak ke dalam peti sejuk. Niat dihati, lepas ni aku nak rehatkan diri sebab esok aku akan laporkan diri ke sekolah tempat aku mengajar. Sedang berkira-kira hendak naik ke atas..

“Arrgghh!! Aa..awak siapa? Awak buat apa dekat sini?” soal aku kepada seorang pemuda tinggi lampai dan berkulit cerah. Hampir terlompat melihat sekujur tubuh itu betul-betul berdiri di hadapan aku. Pemuda itu juga kelihatan sedikit terkejut dengan kehadiran aku.

“Sorry-sorry!” hanya itu sahaja yang terbit dari mulutnya sambil kedua belah telapak tangannya dirapatkan memohon maaf. Selain itu wajahnya juga aku nampak cemas. Dapat dilihat dari pandangan matanya yang sekejap-sekejap dilemparkan ke luar rumah. Aku turut melilau pandangan ke luar dek terpengaruh dengan tingkahlaku dia. Setelah sedar semula, aku kembali serius memandang dia. Fuh~ Cuainya aku tadi…tap takpe, kali ini tidak lagi!

“Awak siapa??! Ohhh awak nak cuba mencuri ya??” Nada aku naik. Aku cepat-cepat mengambil batang penyapu yang aku sedari ada di tepi pintu sebagai pelindung. Tubuh aku dalam keadaan bersiap sedia. Kalau dia nak cederakan aku, sekurang-kurangnya aku boleh bertindakbalas! Aku boleh elak!

“Eh-eh tak! Jangan salah faham. Letak penyapu tu dulu. Nanti saya explain!..” ujar dia menggeleng nafi seraya perlahan-lahan menghampiri aku. Tangannya pula diangkat sedikit tinggi. Agaknya nak beri aku keyakinan yang dia betul-betul maksudkan kata-katanya tadi kut? Macamlah aku boleh tertipu!

“Awak jangan maju ke sini! Kalau tak~~” Aku hayun-hayunkan batang penyapu itu.

“Okay-okay!” Dia berhenti mendekati aku. Fuh~ nasib baik. Kalau tak, aku dah hempuk tadi.

“Awak siapa?” Soal aku kembali.

“Syhhhh..” Dahi dia dikerut sambil jari telunjuknya diletakkan ke bibir. Lain yang aku tanya, lain yang dia balas.

“Apa??” Aku angkat kening bertanya dengan bahasa badan.

“Syhhhh~” Sekali lagi dia membuat perkara yang sama.

“Tutup lampu~” Arah dia. Hanya suara kecil yang keluar dari bibir dia. Aku jadi cemas. Jangan-jangan betul kata dia. Ye tak? Aku terus bergerak menutup lampu. Dia menghampiri jendela rumah dan mengintai-intai. Aku juga turut serta.

“Fuh~”. Dia menghela nafas panjang sambil tubuhnya disandarkan ke dinding manakala wajahnya ditundukkan ke bawah. Dengan langkah yang berjaga-jaga dan penyapu yang masih di genggaman, aku hampiri dia.

“Selesai?” Soal aku mengangkat kening. Dia angkat muka, tersengih-sengih!

“Keluar!” Aku tengok dia atas bawah. Sedap je suruh orang tutup lampu. Kalau JAIS datang, naya aku! Tak pasal-pasal aku kena tangkap basah dengan dia. Dengan wajah tidak bersalah, dia membuka pintu dapur lalu ke halaman rumah dengan kunci. Aku turut keluar membuntuti. Dia berhenti selepas beberapa langkah.

“Macam mana awak boleh masuk sini?” Soal aku. Perasaan aku masih ragu-ragu.

“Dengan kunci.” sambil dia mengangkat kunci dari poket seluar dia. Lalu tangan dia dimasukkan kembali ke kocek seluar. Kunci?

“Awak siapa??” Kesekian kali aku bertanya.

“Saya…”

“Sha%&^ @#$%&!!! Tolonglah terima! You dimana??” Entah dari mana muncul suara beberapa orang perempuan menjerit-jerit sedang memanggil seseorang. Pemuda dihadapan aku berkerut dahi dan memejam mata. Bibirnya pula diketap seolah-olah menahan geram. Oh? Aku tersenyum sinis seperti dapat menebak apa yang sedang berlaku sekarang.

“Ohh dikejar perempuan ye??” dia tersenyum pahit. Sudah tentu, memang betul andaian aku tu! Tidak lama itu, suara perempuan-perempuan tersebut hilang. Orang yang dicari tidak muncul-muncul, mungkin sebab itu pencarian ditamatkan.

“Giggolo ke?” aku terus-terusan bertanya lagi.

“Ehhh???!!! Bukan-bukan!” dia menggeleng laju.

“Jadi?”

“Err…”

“Sorry..” ujar dia tiba-tiba. Buat aku bingung, masih tidak dapat menangkap situasi sebenar. Maka aku anggukkan je kepala menjawab ucapan maaf dia tadi.

“Boleh saya rest dekat sini sekejap??” tanya dia. Dia ke pondok kecil yang terletak tidak jauh dari tempat kami berdiri tadi. Aku garu kepala. Nak halang, dia dah duduk dekat situ pulak. Isk..aku turut mengekori dia.

“Penyapu tu…turunkanlah. Saya tidak akan apa-apakan awak..” ujar dia tersenyum manis. Erk? Perlahan-lahan aku turunkan penyapu setelah aku yakin dia bukan penjenyah seperti yang aku fikir sebentar tadi.

Hemm..boleh tahan juga orangnya. Patutlah jadi rebutan perempuan-perempuan..aku berbisik kecil sambil memerhatikan dia, meneliti.

“Why?” tanya pemuda itu tersenyum. Lamunan aku terus mati. Sempat pula aku menilai dia. Isk kau ni Ika. Jaga mata tu Ika..ish-ish, kejap saja syaitan sempat menggoda kau! Kalaulah dia tidak didepan aku, aku dah tepuk dahi. Aku menggeleng kepala menjawab soalan dia tadi.

“Awak penyewa baru disini?” soal dia sambil pandangan dia dihalakan ke arah rumah. Aku angguk perlahan.

“Sorry, tadi saya ingatkan tiada orang dekat sini..sebab tu saya masuk mencari perlindungan.” ujar dia sekali lagi meminta maaf. Mata aku berkelip-kelip. Seakan aku sudah mengesan sesuatu tentang lelaki ini.

“Ohh....awak lah yang tinggal di sini sebelum ni??”

“Aha..” jawab dia membuka mulut dan macam nak tak nak je mengangguk.

“Ohhh…”

“Seorang je?” soalan dan pandangan dia buat aku resah. Lain macam je. Mata aku rata pandang dia atas bawah. Macam tak pernah nampak perempuan! Aku abaikan soalan itu.

“Okaylah saya balik dulu, by the way thanks.” katanya mula beredar dari perkarangan rumah..aku pula masih kaku berdiri di tempat sama. 

“Oh ya….” lelaki itu berpaling dan menghampiri aku kembali membuatkan aku terpinga-pinga.

“Saya minta maaf jika terlalu berterus-terang. Ada tak peluang untuk hubungan ini maju ke hadapan lagi?” tanyanya sambil memasukkan jari ke poket seluar jeansnya.

Aku kerut dahi. Bingung!

“Hubungan apa?” aku bertanya.

“Sebagai kawan?” tanya aku kembali. Dia menggeleng perlahan.

“Masih relevan tak cinta pandang pertama zaman ini?” aku buntang mata. Musykil!

“Eh?? Mungkin ya, mungkin tidak……” dahi aku berkerut. Gigih jugak aku menjawab soalan pelik dia.

“Kalau macam tu, ada tak konsep cinta pandang pertama wujud antara kita?”

Erkk!? Terkejut dengan soalan dia, aku kelu tanpa berkata. Dia ketap bibir bawah. Namun masih tenang tersenyum cantik.

“Between you and me…” sambung dia lagi. Aku terpamit dengan kata-kata pemuda tu. Dalam hati masih mencari-cari makna sebenar apa yang dimaksudkan olehnya. Tak kan dia maskudkan yang itu kot? Mustahil!

“Awak dan saya?” tanya aku sambil menunjukkan ibu jari aku ke arahnya kemudian ke arahku pula. Aku garu kepala.

“You're too slow!” tuturnya tersenyum melihat gelagat aku. Dia kemudiannya memeluk tubuh menunggu reaksi dari aku.

“Er...” Aku kehilangan kata-kata. Seraya aku genggam jari jemari. Serius! Aku masih tak faham!

“Blur?” soal dia yang sudah tertawa. Buat aku tambah bingung.

“Takpelah, saya pergi dulu. Ada jodoh, kita jumpa lagi.” tuturnya, automatik mematikan rasa tegang yang mencengkam dalam hati. Dia membuka pintu pagar lalu ke keretanya yang diparkir di bahu jalan. Anak mata aku mengekori pergerakan dia. Dia masuk ke perut keretanya lalu meluncur pergi meninggalkan aku.

“Aiseh..BMW 5 series? Muda-muda dah pakai kereta mahal..kalau aku ni, syukurlah ada abah pinjamkan kereta Kelisa tu..” aku berkata sendirian disertai dahi yang dikerut cuba mencerna sesuatu. Apa  ya?

“Erkk! Dia?!” Aku terpinga-pinga sendiri apabila tersedar.

“Kalau dia yang tinggal disini sebelum ni, maka dia adalah pemilik rumah ni!” Aku tepuk dahi. Memang kau slow Ika.

“Ishhh, kalau aku tahu tadi..sempat juga aku berterima kasih pada dia…” bermonolog jadinya. Alpa punya pasal.

Tapi...Apa maksud dia tadi eh? Hemmm..aku masih tidak boleh memadam ingatan aku akan apa yang dikatanya sebentar tadi. Hubungan? Couple? Kalau pasal itu, macam tak logik sangat sebab dia kenal aku pun tak. Dan aku, lagi lah tak kenal dia! Ergh! Abaikanlah.

***

“Waalaikumsalam Mama….” aku menjawab salam setelah menyentuh pada kotak skrin telefon yang berwarna hijau itu. Tuala mandi yang setia di tangan aku dari tadi, aku jemurkan pada kerusi dengan sebelah tangan.

“Alhamdulillah…Ika baik ke tak sana?”

“Alhamdulillah mama..Ika okay sini.” jawab aku ringkas. Sambil bertelefon, aku labuhkan punggung ke birai katil. Biar selesa sikit bercakap dengan mama.

“Yeke..? Yelah, tadi mama telefon tak berjawab…risau mama dibuatnya..betul Ika okay?” ulang mama.

“Ika okay mama…jangan risau. Tadi ada hal sikit..lagipun telefon tertinggal didalam beg…sebab tu tak berjawab tu…” jawab aku lagi. Aku patutnya call mama balik sebaik ternampak missed call mama tadi. Tapi entah, kenapa fikiran aku melayang jauh ke tengah laut. Aduh..

“Yelah-yelah. Mama terima alasan tu…tapi lain kali jangan buat lagi tau…buat risau je..” balas mama tertawa. Aku turut serta. Macam pegawai polis pulak mama ni. hehe..

“Iyeee mama…”

“Dah makan ke belum?”

“Alhamdulillah, dah mama…mama?”

“Dah-dah..ni takpelah, Ika rehatlah dulu..yang penting mama dah tahu Ika selamat dekat sana. Ingat pesan mama dan abah..”

“Baik ma…”

“Assalamualaikum..”

“Waalaikumsalam mama…” jawab aku seraya memutuskan talian. Fuh! Kesian mama…risau pulak dia. Apasal eh aku tak call mama tadi? Menggeleng-geleng kepala mengingatkan aku pada kecuaian sendiri. Aku baringkan tubuh ke katil memikir-mikir..

‘Masih relevan tak cinta pandang? Relevan?’ Masih terngiang-ngiang ayat tu di telinga aku. Apa maksud lelaki tu eh? Entah, kenapa aku tak boleh lupa pasal tu..ish! Tak kan dengan ayat tu aku sudah cair dengan lelaki kot? Pruuugghh! Naya…Tapi, sesungguhnya..ada sesuatu yang menarik tentang dia!

Tidurlah~~~ esok kerja
Share:

Tuesday, 26 January 2016

Aku Tak Boleh Sebab Kau Ex Aku. Faham!? Bab 6

Aku dongakkan kepala ke atas memandang ke arah apartmen mewah yang tinggi melangit itu. Dan...tingkat 22? Biar betul aku kena naik ke atas semata-mata nak serahkan envelope coklat ni? Nipis aje benda ni... tak sesuai betul nak serahkan by hand. Sambil bermonolog, aku meneliti dan membaca kembali alamat yang tertera. Huh! Bersyukurlah Warda oi...at least kau bukan pikul barang berat naik ke atas!

Fuh! Akhirnya selamat juga aku sampai ke tingkat 22 ni. Aku ke tepi dinding mengintai keluar melalui jendela kaca yang separas bahu. Grrr~ Kecut hati! Gatal nak tengok ke bawah kan? Tahu pun phobia pada ketinggian...nak juga cari penyakit.

D – 1-22....rasanya inilah kut? Tanpa berlengah aku terus ke hadapan pintu cuba menekan loceng. Namun belum sempat berbuat apa-apa, pintu itu terbuka dengan sendirinya. Eh? Terbuka gitu aje, tak sampai terkuak besar. Dia benarkan aku masuk ke apa ni? Terkebil-kebil sambil menggaru pipi sekejap. Namun untuk keselamatan, aku memberi salam dari luar.

“Assalamualaikum....” Salam aku tidak dijawab. Err...

“Hello.....” aku tukar ucapan salam dengan perkataan ‘hello..” pula. Kut-kut dia bukan muslim kan? Maklumlah negara tercinta kita ni pelbagai bangsa. Tapi...aih? Takde balasan apapun dari dalam...patut tak aku masuk aje? Aih! Tak boleh, tak boleh!

“Assalamualaikum.....”

“Hello...” Bertukar ganti ucap salam aku. Buat malu pada jiran sebelah ni aje..huhu.

“Assalamualaiii...”

“Waalaikumsalam...please come in....ada benda saya nak discuss dengan cik Balqis.” Terkejut. Pintu itu tiba-tiba dibuka luas dan orang yang mempersilakan aku masuk adalah dia! Muhammad Faradhi. Ya Allah...ini mesti kerja Balqis sengaja nak kenakan aku! Patutpun bermacam warning kalau aku tak hantar envelope ni dengan tangan.

“It’s okay....pengasuh dan anak saya pun ada di dalam. Jangan risau....” Enggan berganjak dari tadi, seperti memahami apa dalam fikiran aku...dia yakinkan aku, bukan hanya kami berdua ada didalam rumah itu nanti. Nak tak nak aku kena masuk sekejap. Sebaik masuk ke rumah, hati tiba-tiba berdebar. Aku ketap bibir. Keadaan apartmen ni macam keadaan rumah yang kami duduk dulu.... Fuh~

“Duduklah dulu...” pelawanya tersenyum kemudian langkahnya dipandu ke arah dapur. Buat air ke? Sementara menunggu dia, mata aku tidak putus perhatikan suasana apartment itu. Cis! Keadaan rumah ni mengingatkan aku pada rumah ‘itu’ dulu. Arggh! Kenapa aku masuk apartment ini tadi?? Tanpa sengaja kedua-dua belah tangan aku diraup ke wajah menghilangkan perasaan yang mula tidak menentu. Tidak lama menunggu, dia kembali dengan dulang makanan. Dan seperti di rancang, air minuman yang dibuatnya juga adalah minuman kegemaran aku. Adakah ini kebetulan?

“Jemputlah minum...” pelawanya dengan senyuman sambil meletakkan dulang makanan itu di hadapan aku. Tubuhnya dilabuhkan ke sofa dihadapan aku. Dia tuangkan jus itu ke dalam gelasnya kemudian ke gelas kaca aku pula. Dalam segan aku ambil gelas yang berisi jus melon itu. Belum sempat bibir aku sampai ke mulut cawan, pengasuh yang memang amat aku kenali melintas dari arah belakang Faradhi. Dia, Mak Cik Esah!

“Cough,cough~!” Tumpah sedikit jus melon itu ke atas meja kaca. Bulat mata Mak Cik Esah tengok aku kemudian tersenyum. Aku balas senyumannya tapi tak dapat nak peluk cium Mak Esah memandangkan aku kononnya stranger pada Muhammad Faradhi. Phew...tentu Mak Cik Esah pelik dengan perangai aku. Huhu...

“Sorry...tumpah...” Baru sedar dia asyik perhatikan aku, aku keluarkan tisu dari beg tangan dan mula melap-lapkan jus yang tumpah itu. Marah sebab aku tumpahkan jus tu ke? Tidak bersuara, dia hanya berpeluk tubuh perhatikan aku. Tapi....kenapa dia perhati aku semacam je? Takkan dia dah tahu identiti aku?? Buat aku takut aje...

“Ehem....so ini envelope yang encik minta tu...” Tidak mahu panjangkan fikiran, aku alihkan perhatiannya pada sampul berwarna coklat itu.

“Oh okay...” tuturnya mengambil sampul coklat itu hanya dengan sebelah tangan. lebih jelas lagi, ambil dengan sebelah tangan kanan. Dia buka dan meneliti. Sementara menunggunya, telefon pintar aku tiba-tiba berbunyi nyaring dengan lagu nyanyian Vanessa William menandakan Balqis telefon aku! Aku set lagu itu sebagai caller ringtone Balqis.

“Sorry...saya jawab sekejap...” ujar aku meminta diri ke arah balkoni.

“Assalamualaikum...Balqis! Kenapa tak beritahu aku sampul tu untuk Encik Faradhi??” Soal aku sedikit berbisik bertanya terus tentang pemilik envelope itu pada Balqis.

“Waalaikumsalam...ala sorry tau. Aku terpaksa Warda oi. Macam kepala aku kena tembak aje bila ex-husband kau tu warning aku tempoh hari supaya tak beritahu kau tentang siapa pemilik envelope tu! Dia nak kau juga yang hantar pada dia...”

“Kena saya yang hantar? Maksudnya?” Aku terus bertanya berserta bisikan terkejut sambil kepala sekejap-sekejap ditoleh ke arah Faradhi. Patut pun sampul remeh tu nak juga dihantar by hand. Tak kan pula dia dah.......ya Allah...

“Maksudnya, Encik Faradhi tu dah tahu kau tu bekas bini dia!”

“Haaa?” baik punya jawapan dan sangat tepat telaan aku sampai jantung aku rasa nak terlari dari tempat asal.

“Mula-mula memanglah dia tak cam kau....tapi dia kelentong aku, pusing cerita...manipulasi aku, sampai aku bingung dan terbuka cerita pasal kau!” Nada kecewa Balqis di hujung talian.

“Takpe..takpe. Saya tak ambil hati. Bukan salah kau pun.” Huhu...

“Ni ada apa-apa masalah dekat office eh? Ada sesiapa cari aku?” Saja tukar cerita.

“Takde semua tu...saja nak minta maaf awal-awal dekat kau pasal envelope tu dan juga pasal ex-husband kau...takut nanti dalam perjalanan balik ke sini, kau sumpah aku macam-macam...kau marah tak? Sorry eh, aku betul-betul nak beritahu kau sebelum kau keluar tadi tapi aku dah buat janji pula pada Encik Faradhi...lagi pun, takpe kan sebab kau mesti dah tahu yang Encik Faradhi tahu kau tu bekas isteri dia sekarang ni kan...?” Fuh~ Balqis-Balqis. Aku tak tahu pun dia tahu identiti aku sehingga kau call aku Balqis...huhu

 “Hemm....takpelah, balik nanti saya jumpa kau di office eh. Assalamualaikum...”
Isk~ Macam mana aku nak berdepan dengan dia dalam keadaan macam ni? Hati aku ni ha~ tak tentu arah dah! Fuh~ relax... cool down..relax again. Cool down.....
Aku menghampirinya yang setia membelek-belek beberapa kepingan kertas dengan hati tidak putus beri semangat pada diri sendiri.

“Err....kalau dah takde apa-apa lagi, saya....”

“Duduk dulu...” Belum pernah lagi kut ada orang yang tiba-tiba potong ayat aku. Dia ni lah yang pertama kali. Yelah, selama hidup dengan dia dulu pun...peribadi dia bukan macam ni. Huh~ nak tak nak,aku duduk juga kejap.

“Ermm....pasal dekat Sabah hari tu.....” Phew~ Sabah lagi..

“Ohhh....tak itu bukan kerja saya...saya cuma pengganti aje...” Giliran aku pula tiba-tiba potong ayat dia. Bukan nak balas dendam. Aku takut dia bangkitkan soal lain! Huhu...

“Bukan...maksud saya...” Alamak....habis lah aku!

“Ohh pasal anak encik tu ye...? Takpe, takpe...it’s okay-it’s okay....” Kalut! Wajah dia sudah bengang seperti yakin akan sesuatu yang aku cuba elak.

“Ehem! Warda...!” Aish~ aku ketap gigi sambil cuba menyembunyikan riak muka.

“Why do you keep on  avoiding me?” soalnya mencari jawapan dari riak wajah aku.  Sementara itu, aku pula dalam posisi kepala ke sana ke mari mengelak diri dari ditatap oleh mata dia.

“Warda...” Enggan menjawab soalannya, dia panggil nama aku untuk tarik perhatian aku.

“Err....." Oh please save my life!
"Eh? Mak Cik Esah....ala, sorry hampir tak kenal mak cik tadi. Mak Cik dah tambah lawa...sebab tu Arda tak cam tadi! Hehehe~” Aku terus angkat punggung memeluk Mak Cik Esah yang hampir melompat dengan sapaan aku dari belakangnya. Nasib baik Makcik Esah keluar. Kalau tak? Huhu...

“Makcik sihat?” Tanya aku menyalamnya. Pada Faradhi pula, aku hadiahkan jelingan maut. Dia balas dengan senyuman separuh. Huh~ bencinya aku!

“Alhamdulillah...” Balas makcik.

“Takpelah makcik...Arda balik dulu, lain kali kita sembang banya lagi ye macam dulu...” sambil mencium pipinya, aku pantas ke pintu  memakai kasut tanpa menunggu jawapan dari Makcik Esah lagi. Tindakan cepat aku membuatkan Faradhi secepat kilat mengangkat punggung cuba menahan aku. Tapi oleh kerana aku lebih pandai dari dia, maka aku terlebih dahulu menutup pintu apartment itu dengan senyuman kemenangan. Bukan saja dia terkebil-kebil, malah seperti geram dan bengang dengan aku. Tapi...apa aku nak kisah kan? Envelope itu pun dah aku hantar....jadi apa isunya lagi? Tak kanlah aku nak dengar soal aku dan dia? Jawapan aku, NO WAY!
Share:

Monday, 25 January 2016

( Full Novel ) Suamiku 19 Tahun [ Bab 2 ]

Aku baru sahaja menghubungi kak Fiza bahawa aku akan mengajar di negeri yang sama dengannya. Satu-satunya kakak yang aku ada. Yelah, sebab kami 2 beradik je…kata kak Fiza, bagus jugak, sebab bolehlah aku jadi babysitter kepada budak Farish kalau dia ada hal. Cis~ kak Fiza memang sengaja nak menganiaya aku! Dahlah budak kecik tu anggap aku musuh nombor satu dia??! huwaaa~

Rasa macam nak nangis je bila ingat balik. Aku suka budak-budak tau! Tapi entah kenapa budak-budak tak suka aku?? Muka aku ni nampak garang ke? Sambil aku memikirkan hal anak kak Fiza, kaki aku perlahan-lahan dipandu menuruni anak tangga. Sunyi. Aku toleh ke kiri dan kanan mengesan kelibat mama dan abah. Mana pula mama dan abah ni?

Aku terus ke ruang dapur. Oh? Dekat situ rupanya? Aku berlari kembali ke bilik untuk menyarungkan tudung. Cepat-cepat aku turun semula ke bawah dan terus keluar rumah. Aku hampiri mereka yang sedang duduk berbual di pondok cendawan mama. Sempat aku merenung ke langit. Hari yang baik, mendung dan agak dingin.

“Haa~ keluar juga anak abah dari sangkarnya…” aku tersengih seraya lemparkan senyuman malu.

“Ishh~ abah ni..asyik nak usik Ika je..” nada aku sengaja kedengaran seolah-olah merajuk. Mama siku abah. Alamak. mama pula yang terjerat dengan perangkap aku. Sedang abah cool je. Kesian mama!

“Yelah…sepanjang hari memerap je dalam bilik...buat apa?” tanya abah tersenyum. Mama juga turut tersenyum lawa.

“Takdelah abah. Kemas barang je..tak lama lagi nak berangkat kan? Kenalah ready awal-awal!” jawab aku sambil membetul-betulkan kedudukan.

“Semangatnya anak abah nak kerja..! Baguslah tu. Ni Abah nak pesan ni, kalau dah kerja tu nanti..tunaikan tanggungjawab dengan dedikasi! Jangan curi tulang! Bukan sekadar mengajar je, didiklah juga anak murid tu. InsyaAllah, ganjaran yang setimpal Allah berikan kepada sesiapa yang ikhlas menjalankan tugasnya.” ujar abah memberi pesanan dan ingatan. Aku mengangguk-angguk tanda memahami kata-kata abah. Ye tak ye pula, kadang kala tugas yang kita galas kita ambil ringan. Padahal, dalam diam ganjaran sangat besar di sisi Allah. Insya-Allah, aku akan cuba jadi pengajar dan pendidik kepada pelajar-pelajar aku nanti! Aiseh, semangat tu. Hehe!

Dalam minggu ni, aku nampak sibuk. Nampak je sibuk. Padahal, beli buku...beli baju je…maklumlah itu persiapan sebelum melangkah ke alam pekerjaan. Ceh! Mengalahkan budak sekolah. Baiklah, hari ini pula aku tinggalkan sekejap negeri kelahiranku Perak. Sebenarnnya aku ke Klang Selangor. Aku nak tunaikan janji dengan seorang makcik nak tengok rumah sewa yang berdekatan dengan sekolah tempat aku mengajar. Oh ya! sebenarnya..aku ditempatkan di Klang Selangor. Jenuh aku cari rumah sekitar Klang ni..iyalah, kebanyakkan rumah sewa yang berdekatan dengan sekolah ni, sudah berpenghuni! Ni pun boleh dikira rezeki aku dapat rumah yang 40 minit perjalanan ke sekolah aku tu nanti. Tapi takpe lah kan, 40 minit tu tak jauh sangat pun.

Aku memarkirkan kereta Kelisa yang aku pinjam dari abah di bahu jalan. Agaknya inilah rumah tu… duga aku apabila melihat pada nombor rumah di sebelah kiri aku. Nombor 18!

Aku keluar dari perut kereta lalu menghampiri pagar rumah yang indah tersergam.

Belum pun aku seminit berdiri dihadapan pagar, satu suara memberi salam dari halaman rumah. Kepala aku automatik dihalakan ke arah suara itu.

“Assalamualaikum…anak ke yang telefon hari tu?” tanya nya kepada aku yang masih tercegat di pintu pagar. Selesai menjawab salam, aku cuma mengangguk mengiyakan soalan darinya.

Dia membuka pintu pagar automatik itu lalu mempelawa aku masuk ke dalam rumah. Sebaik melangkah masuk, terpempan aku sekejap melihat keindahan reka bentuk dalaman rumah tersebut. Seni bina rumah yang tidak patut disewakan kepada stranger bagi aku. Kalau rosak, agak-agak berapa kos yang aku kena ganti?? Alamak…habislah aku!

“Err..makcik, memang betul ke ini rumah tu? Memang betul harga sewa tu?” tanya aku. Aku berkali-kali ketap gigi. Kaki aku melangkah ke ruang dapur pula. Tak kan rumah ni bersewa dengan harga RM350 sebulan je? ish..biar betul mak cik ni?

“Inilah rumah tu, jangan rasa terganggu dengan segala isi rumah ni..” katanya seolah-olah dapat meneka apa yang bermain di fikiran aku sekarang.

“Tuan punya rumah yang beli semua ni sebelum ni dia tinggal sekejap dekat rumah ni..” sambungnya lagi. Sementara itu mata aku pula asyik melilau pada keadaan rumah.

“Ohhh….” balas aku tanda memahami setelah beberapa detik.

“Anak boleh guna semua barang dekat sini.” Katanya lagi membuatkan aku terkelu sekejap. Lama aku berfikir...

“Tapi..tak apa ke makcik? Tuan punya tak marah?” Aku berkerut dahi memandang makcik lebih separuh abad itu..biar betul…sebab mostly rumah sewa yang aku huni sebelum ni cuma ada peralatan dapur macam peti ais dan dapur gas je. Malah kalau nak pakai cerek air, kena tambah caj sewa tau!

“Apa yang perlu dimarahkan pulak? Dia yang gigih nak sewakan rumah ni..siapa yang cepat, dia lah yang dapat!” makcik itu tertawa melihat gelagat aku. Aku ketap bibir menahan malu. Mesra pulak makcik ni..huhu..buat aku segan aje…

Tidak lama lepas itu aku juga turut sama senyum dan tertawa mendengarkan kata-kata makcik itu. Ah! Dah rezeki aku kot? InsyaAllah, aku akan jaga sebaiknya segala isi dalam rumah ni. Yelah, barang orang..wajib kita jaga kalau kita yang pakai kan?

Aku dibawa ke halaman rumah mengambil angin sambil menandatangani satu dokumen dan juga menyerahkan wang deposit rumah selama 2 bulan. Usai menandatangani dokumen, aku diberikan kunci rumah. InsyaAllah..empat hari lagi aku kembali ke sini.
Share:

Thursday, 21 January 2016

(Full Novel) Suamiku 19 Tahun [Bab 1]

“Aku nikahkan dikau dengan Syafikah Binti Sharifuddin Isa dengan mas kahwin 100 ringgit tunai!” begitulah Ijab Kabul antara aku dan dia. Sekejap lagi aku akan jadi isterinya yang sah. Syukur ya Allah kerana meringankan jodoh aku! Alhamdulillah …

“Aku terima nikahnya Syaa…Syaa..” Tok Kadi dan yang lainnya berpandangan antara satu sama lain. Sah, memang ada yang tak kena.

“Tak boleh ni. Ulang lagi!” arah Tok Kadi kurang berpuas hati dengan lafaz nikah tadi. Macam marah je. Hehe! Tok Kadi mengulangi lafaz Ijab Kabul itu untuk kali yang kedua. Tidak dinafikan debaran aku masih tinggi. Dup! dap! Dup! dap! Kenapa lama sangat ni? Huhu ..

“Aku terima nikahnya Syafikah Binti Sharifuddin Isa dengan mas kahwinnya 100 ringgit tunai!” Tatkala lafaz nikah itu dibaca sempurna, Tok Kadi tersenyum.

“Sah?” tanya Tok Kadi kepada abah dan orang di sekelilingnya.

“Sah!” balas mereka serentak. Saat ini mama sudah menitiskan air mata. Kak Fiza? Senyum lebar sampai ke telinga. Melihat keadaan ini aku akui, bahagia itu sudah milik aku.

Wajah aku mulai panas, pipi sudah merona merah menyebabkan aku automatik menunduk wajah menahan malu. Pengantin lelaki segera bangkit menghampiri aku yang masih setia menantinya. Dia mempelawa jemari menanti jari aku untuk disarungkan cincin. Aku sambut penuh sopan dan terus mencium jemari dia setelah cincin disarungkan ke jari manis. Namun tatkala aku angkat kepala, seperti tumbang sebatang pokok kelapa ke tubuh aku!

“Argghhhhhh! Awak siapa???” aku panik.  Orang yang aku tidak kenali menjadi suami aku! Aku toleh mama dan Kak Fiza. Kenapa pula tersenyum? Aku pandang ke sekeliling aku. Kosong? Tak kan cepat je semua orang beredar?

“Suami awak!” Pemilik tubuh didepan aku bersuara cepat. Kepala aku ditoleh kembali.

“Tidak! Awak bukan suami saya. Pergi! Pergi! Tidak! Tidakkk!” aku humbankan tubuh terus ke pangkuan mama untuk melarikan diri. Aku tak nak jadi isteri pada lelaki yng aku tidak kenali!! Aku tak nak!

Bukkkk!! Urgghh~ apasal sakit sangat ni? Tak kan sakit sangat walau jatuh berbantal ribaan mama?

“Aduhhhhhh~” Kepala aku diusap kerana rasa perih dibahagian dahi. Aku celik mata. Fuhhh~ Mimpi rupanya? Aku bangun. Aiseh? Tak kan aku humbankan diri ke lantai tadi? Huhu..nasib baik tiada apa-apa yang berlaku. Hemm! Mimpi punya pasal, aku jadi macam ni? Tak patut~ Tak patut!

Aku berpaling ke arah jam di dinding. Jarum menunjukkan tepat ke nombor 8. Aduh! Macam mana aku boleh tertidur balik? Oh ya? Aku baru teringat, usai saja solat subuh pagi tadi, buku motivasi ustaz Pahrol Muhammad Juoi di atas meja tu aku ambil. Konon nak baca. Tapi, macam sempat aku baca 2 bab je… selepas tu aku dah tertidur. Dapat pula mimpi yang bukan-bukan! Agaknya sebab aku tak cukup tidur kot? Ceh! Tak cukup tidur kau kata? Selama beberapa bulan ni kau jadi penanam anggur je? Kalau tanam buah anggur takpelah jugak. Boleh buat duit! Ini tak … Dah! Bersoal jawab sendiri.

***

Sesi persekolahan awal tahun sudah bermula, budak-budak sekolah riang gembira, aku pula sebaliknya. Resah … risau … gundah, semua ada. Sudah tentu sebab ada sesuatu yang belum beres!

“Okay, jap-jap. Bismillah hirrohma nirrohimm, mudah-mudahan ya Allah.” Mulut berkumat-kamit membaca sepotong ayat mudah. Aku terus membuka sampul surat yang tertera besar di muka hadapan. ‘Urusan Seri Paduka Baginda’. Jantung aku berdegup kencang tatkala membaca isi kandungan surat tersebut. Belum pun sempat habis aku baca, hati sudah lebih awal menjerit keriangan! Sungguh, aku sangat teruja dengan apa yang aku baru baca. Selama ini, aku sangat menantikan berita penempatan aku sebagai salah seorang tenaga pengajar. Alhamdulillah! Akhirnya terjawab juga!

Aku percepatkan langkah masuk ke rumah. Rasa tak sabar pula aku khabarkan berita ini kepada mama. Aku yakin, mama lah orang pertama yang gembira dengan perkhabaran ini! Abah pula sudah lama berangkat ke tempat kerja sejak pagi.. Yelah, ke sekolah. Sejak abah berkhidmat sebagai guru besar ni, nampaknya beban tugas abah semakin bertambah. Aku terus mencari mama …

“Mama ... mama!” aku melaung mama dengan nada yang sedikit tinggi.

“Mesti di dapur …” aku menduga. Kelibat mama jarang di ruang tamu. Biasanya mama memang rajin ke dapur. Kalau bukan di dapur…tu ha, anak ketiganya! Bunga-bunga mama! Sebaik aku masuk ke ruang dapur, kelihatan mama sedang membongkokkan badan seolah-olah sedang mencari sesuatu di dalam kabinet almari.

“Buat apa tu mama?” tanya aku sedikit pelik dengan tingkah mama. Aku lupakan sekejap pasal berita tadi. Aku hampiri mama dan sertainya.

“Mama tengah cari bekas warna merah jambu tu … Ika ada nampak tak? Bekas gula yang lama, sudah pecah. Nak ganti yang baru … tapi ntah, dah kemana agaknya bekas tu.” sementara mama masih dengan pencariannya aku buka kabinet yang di sebelah kanan pula. Aku cari punya cari, tak jumpa. Agak susah cari sebab barang dekat situ tidak tersusun dengan rapi.

“Haa..jumpa pun…” mama tersenyum puas dengan hasil pencariannya. Aku duduk bersila di lantai dapur menanti mama menyiapkan kerjanya. Mama bangkit dan terus mencuci bekas itu kemudiannya dikeringkan pula dengan tuala bersih. Baki gula yang tadinya separuh sudah tumpah ke lantai dipindahkan ke bekas yang baru.

“Mama, surat tu dah sampai!” tutur aku tiba-tiba memecah keheningan antara kami.

“Iye … ? Jadi, dapat dekat mana?” mama meletakkan gula yang ada di tangannya di atas meja lalu duduk bersila bersama dengan aku. Topik aku agak menarik perhatian mama. Terpancar sinar ceria di wajahnya yang sedikit dimamah usia.

“Alhamdulillah dekat je mama!” senyuman aku hampir nak ke telinga. Siapa tak gembira? Hehe!

“Alhamdulillah....” panjang lebar mama mengucap kalimah itu.

“Sekurang-kurangnya..Ika dah tak payah susah-susah dan nangis-nangis lagi selepas ni kan?” sambung mama. Mama ni sengaja je sakat aku. Aku sudah tersipu-sipu malu dengan usikan mama. Apa taknya, sebelum ni aku memang nangis sakan tiap kali teringatkan benda ni ... huhu ... terima kasih ya Allah!

“Kalau Abah dah balik petang nanti, khabarkan kepada dia..” ujar mama memberi pesan.

Aku tersenyum mengangguk faham. Aku yakin, abah juga turut sama gembira dengan khabar berita ini.
Share:

Wednesday, 20 January 2016

(Full Novel) Suamiku 19 Tahun [ Prolog ]

“Ika!” laung suara Fatin dari jauh sambil berlari anak menuju ke arah aku. Tubuh yang bersandar di tiang perhentian bas dipusingkan terus sambil tangan dilambai-lambaikan kepada Fatin.

“Fuh! Kau nak pergi mana? Bawa aku pun tak.” soal Fatin apabila sudah betul-betul berhenti dihadapan aku. Nafasnya masih pendek kerana lariannya tadi. Tangannya pula melap-lapkan wajah yang berpeluh sebelum menarik sehelai tisu dari poket baju kurungnya.

“Ni haa~” ceria dan bersemangat. Aku pusingkan beg ke depan dan serta-merta membuka zip anak beg. Sementara Fatin pula mengintai-intai apa yang bakal aku keluarkan dari beg.

“Tada!”

“Kad??” tanyanya terus sebaik kad itu ditangan aku.

“Afif nak jumpa aku kejap..” jawab aku sambil menghulurkan kad itu ke tangan Fatin. Kala ini wajah Fatin serta-merta berubah.

“Apasal?” soal aku mulai risau dengan riak Fatin. Didalam hati sudah berdebar-debar menanti.

“Er…kau tak tahu ke dia dah ke Australia?” Fatin ketap bibir sukar membuka cerita.

“Eeeh?” aku gigit jari bingung dan terkejut sekejap dengan khabar berita itu.

“Dia tak beritahu kau?” aku geleng kepala sebagai jawapan. Tubuh tiba-tiba lemah memaksa aku ke bangku menunggu bas untuk melabuhkan punggung. Kenapa dia pergi tanpa beritahu aku? Kenapa tinggalkan aku begitu je? Bukan dua atau tiga, malah berpuluh soalan yang bermain di fikiran aku mengenai pemergian Afif ke Australia secara tiba-tiba.

“Seminggu lepas lagi dia berangkat ke sana Ika…” jelasnya mendekati aku lalu turut melabuhkan punggungnya. Aku membatu disebelahnya mengingat-ingat dan meneliti kembali. Aku ada buat apa-apa kesalahan ke? Last time aku rasa kami baik-baik je… ke dah tak sayang aku lagi…? Aku angkat kembali kad itu dan suara hati mula membacanya kembali.

“Syafikah..can we meet somewhere?” tapi kad ni … ? Aku belek kad yang bertarikh hari ini itu. Kad ni seolah-olah memberi gambaran bahawa dia masih berada di sini, bukan di luar negara.

“Ika..kau jangan sedih-sedih okay? Mungkin Afif saja nak surprise kau kot? fikir positif je…” Fatin cuba menenangkan aku. Mulut kata lain, tapi genggaman erat jemari Fatin itu seolah-olah mengakui apa yang sedang aku fikirkan. Lagipun surprise apanya pergi tanpa sepatah kata?

“Aku okay…” jawab aku kecil setelah lama mendiamkan diri. Hakikatnya hati aku seperti ditusuk sembilu. Rasa sebal didada, hiba dan sebagainya.

Tiba-tiba perbualan kami disekat oleh satu panggilan telefon. Automatik tangan aku meraba poket baju kurung. Papan skrin direnung sekejap. Nombor yang tidak dikenali tertera malah aku sempat sedar, nombor telefon itu berkod nombor panggilan dari negara luar.

“Hello…” aku jawab panggilan.

“Fikah…” suara Afif di hujung talian.

“We’ve done here..”

“Saya tahu..” potong aku sambil menahan hati yang pedih. Akhirnya memang tepat telaan hati aku sebentar tadi…

“Aku harap kau faham maksud aku.." tuturnya meneruskan bicara. Kenyataan dan nada itu membuatkan aku sebak. Mata mula basah.

“Saya sangat faham..takpe...” Cepat aku balas ayat dia sebab takut menambahkan rasa sedih aku. Dalam hati sebenarnya banyak yang nak aku tanya…kenapa putuskan aku begitu je padahal sebelum ni aku rasa kami baik je? Apa alasan dia? …… tapi, aku takut mengetahui perkara sebenar. Talian telefon aku tamatkan. Seterusnya menoleh sepi ke wajah Fatin lalu memeluknya erat. Aku tersedu-sedan di pelukan Fatin sambil terperhati pelik oleh orang sekeliling. Benar kata sesetengah pendapat orang, manusia memang lemah apabila berhadapan soal perasaan. Begitulah apa yang berlaku pada aku sekarang…

“Ika…sabar banyak-banyak okay…….?” Fatin menepuk-nepuk belakang tubuh aku cuba untuk menenangkan keadaan.

Share:

Dari Saya...

Assalamualaikum dan selamat sejahtera....

Terlebih dahulu ingin saya ucapkan jutaan terima kasih kerana sudi mencuri sedikit masa untuk membaca coretan ini. Mungkin agak mengambil sedikit masa untuk dibaca, namun diharap agar pembaca semua dapat bersabar.

Pertama sekali saya memohon maaf di atas kelewatan dan janji-janji yang tanpa sengaja saya langgar untuk novel S19T. Bukan sengaja membuatkan para pembaca tertunggu-tunggu dengan update atau terbitan novel ni. Kekangan masa yang tiada berpenghujung yang 'melewatkan' update dan terbitan novel. Seperti yang pembaca sedia maklum, selepas novel ini ditolak untuk diterbitkan, saya memang sudah nekad untuk publish sahaja di blog. Namun atas beberapa nasihat yang saya terima, saya mengubah fikiran untuk cuba lagi ke publisher lain.

Untuk hantar ke publisher lain, saya kena baca balik dan perbaiki mana-mana part yang dikritik terlebih dahulu. Saya dah buat perkiraan, nak baca balik dan perbaiki tu..saya kena ambil masa sepenuhnya dalam sebulan untuk repair novel ni. Seriously, memang sebulan! Tak tipu. Kerana apa? Kerana saya bukan orang yang pandai dalam berkarya. Buat ayat yang cantik-cantik macam orang lain, Buat ayat islamik? Saya minta maaf, saya hanya saudara baru yang masih belajar. Buat lawak macam orang lain, saya sangat fail. Totally! Mungkin bagi orang lain, "Eh? Senang je pun...tak kan itu pun tak boleh buat?" Oh~~ no, big no! Bagi saya, saya kena struggle untuk itu. Belum lagi part nak sambungkan cerita ke cerita seterusnya. Phew~ Ditambah dengan sekolah yang sudah bermula ni lagi buat saya terkejar sana dan sini. Balik rumah petang, malam tinggal nak buat kerja sikit dan tidur. huhu~ masa untuk novel, zero sepenuhnya. Kadang-kadang terjaga around jam 2 dan 3 pagi, masa tu saya peruntukkan sedikit masa untuk update dan sebagainya. Bukan ambil masa 30mins, ada jugak sejam dua. Lepas tu orang lain, awal pagi jam 7am, driving segar macam kena simbah ais. Saya pula, bantal je takde. Kalau ada, confirm tertidur!


Kepada pembaca-pembaca yang sudah mula menyampah, marah dan sebagainya.....dengan rendah hati saya akui kesilapan diri, kecuaian diri...saya memang tidak lari dari kesilapan-kesilapan itu. Dan kepada pembaca-pembaca yang sentiasa support saya dari awal, saya ucapkan jutaan terima kasih kerana tanpa anda semua, mungkin sampai sekarang novel ni tak akan siap-siap! Hanya Allah yang tahu betapa saya amat bersyukur dengan kehadiran anda semua dalam ruangan blog. So untuk menghargai sokongan anda semua selama ini, Mungkin akan mengecewakan pembaca semua, tapi sesuatu yang telah dimulakan perlu saya disudahi, saya putuskan untuk publish sahaja dalam blog ini. Muktamad. Saya akan post dari awal novel sampai tamat, dengan 1 bab untuk seminggu. Jangan risau, novel tu saya dah perbaiki setakat mana kemampuan saya.Dalam masa yang sama, saya akan cuba peruntukkan masa untuk update novel kedua yang sudah bab ke-5 tu. Tapi itu saya tak boleh janji bila boleh update. Barangkali 1 kali dalam 2 minggu atau tengok lah masa saya macam mana.

Akhir sekali, semoga dengan penjelasan yang tidak seberapa ini dapat memuaskan hati semua pihak yang terlibat. Hanya sampai sini kemampuan saya, mungkin belum rezeki saya dalam bidang ni...saya terima dengan redha. InsyaAllah...
Many thanks! You guys really mean to me :) Barakallah...


From me,
WSKA
Share:

Sepatah dua dari saya

Saya memohon kepada sesiapa yang ada berniat atau secara tidak sengaja terniat untuk menyalin, memplagiat atau apa-apa sahaja ungkapan yang membawa maksud yang sama agar membatalkan niat tersebut ^_^. Jika ada yang suka dengan karya-karya saya untuk diletak di blog peribadi, tolong kreditkan blog ini sekali. Akhir kata dari saya, dengan rasa rendah hati..saya ucapkan terima kasih tidak terhingga pada yang sudi membaca karya-karya yang ada di sini! semoga semangat ini terus membara untuk berkarya. InsyaAllah...

Disclaimer:
I do not own any of these pictures. No copyright infringement intended. If you own anything and would like it to be credited or removed, contact and I will gladly oblige.

Followers